by muhammad on
July 24, 2012
Dari Umar bin al-Khattab r.a
katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang
tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi
s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu
dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk
kembali dan sesudah itu dia solat.”
huraian
Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada
enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan
salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah.
Rukun-rukun wudhuk ialah:-
1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang
ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah
Ta'ala".
2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka
yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah
diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga
kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.
3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air
dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan
dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.
4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air
sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah
menyapu seluruh kepala. - 3 kali.
5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki
serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah
kanan dahulu. - 3 kali.
6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang
kemudian dikemudiankan.
Share